Rumah panjang terbakar, 398 hilang tempat tinggal
BELAGA: Sejumlah 35 keluarga yang membabitkan 398 orang penghuni hilang tempat tinggal dalam satu kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah panjang di Uma Kahei, di sini pada kira-kira jam 3 pagi semalam.
Bagaimanapun, 45 pintu (keluarga) lagi terselamat daripada bencana berkenaan. Secara keseluruhannya, Uma Kahei dihuni sejumlah 80 pintu (keluarga).Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran berkenaan.
SAO Sami Siba dari Pejabat Daerah Belaga yang menghubungi Utusan Borneo di sini petang semalam berkata, punca kebakaran dan kerugian masih belum dapat dipastikan dan kes itu masih disiasat.
Katanya, disebabkan api marak dengan begitu cepat, semua mangsa lari lintang-pukang untuk menyelamat-kan diri.
Menurutnya, mangsa yang terbabit kehilangan dokumen-dokumen penting dan harta benda lain.
“Pagi tadi, seawal jam 5 pagi, Ketua Kampung Maran Uma Kedoh Tajang telah melaporkan kejadian kepada Pejabat Daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat di sini,” katanya sambil memberitahu bahawa Uma Kahei terletak di hulu pekan Belaga dan hanya mengambil masa 15 minit dengan bot dari pekan Belaga.
Sami berkata sejurus me-nerima laporan, sepasukan pegawai dari Belaga yang terdiri daripada beliau sendiri, Kiprawi Mokhtar (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan Huvang Liah (Jabatan Penerangan) telah bergegas ke lokasi dengan sebuah bot laju.
Menurut Sami, mangsa kini menumpang sementara di rumah saudara-mara berdekatan.
Menurutnya, mangsa memerlukan bahan-bahan se-perti bahan binaan untuk membina rumah baru, keperluan seharian seperti maka-nan, peralatan dapur, pakaian dan lain-lain.
Katanya, beberapa pemimpin dan wakil rakyat dijangka mengadakan lawatan ke Uma Kahei hari ini untuk menghulurkan bantuan.
Antaranya ialah Menteri Kemajuan Tanah Sarawak Dato Sri Dr James Jemut Masing, Ahli Parlimen Hulu Rejang Datuk Billy Abit Joo, Ahli Dewan Undangan Negeri Belaga Liwan Lagang dan Setiausaha Politik Ketua Menteri Wilson Ugak Kumbong.
Sami juga memberitahu bahawa orang ramai diseru menghulurkan derma dan bantuan kepada mangsa.
Derma atau sumbangan berbentuk kewangan dan bahan makanan boleh dihantar ke Pejabat Daerah Belaga.
Bagi mereka yang menyumbang kewangan berbentuk cek bolehlah diberi atas nama Jawatankuasa Bencana Alam Daerah Belaga.
Sesiapa yang ingin mendapatkan maklumat lanjut sila hubungi pegawai seranta: SAO Abdul Halim Abdullah dan SAO Sami Siba di Pejabat Daerah Belaga di talian 086-461315 atau 086-6461339.
Sunday, July 13, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment